JOHOR BAHRU, 10 Ogos 2017 – Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh melancarkan konsep bilik kuliah masa hadapan yang dikenali sebagai “Classroom of Future” dan UTM-Huawei iLearning Cloud Showcase di Pusat Kecemerlangan Inovasi, Media dan Permainan Digital (MaGICX), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), hari ini. Pengarah MaGICX, Prof Madya Dr Mohd Shahrizal Sunar berkata, konsep bilik kuliah masa hadapan menggunakan teknologi Realiti Maya (VR) dan Cisco SPARK bagi membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan dengan lebih interaktif. Menurutnya, penggunaan teknologi berkenaan dapat membantu pelajar merasai pengalaman seperti berada dalam situasi sebenar dan mereka dapat berinteraksi dengan pensyarah atau pakar yang berada di tempat lain dalam masa nyata. Majlis pelancaran konsep bilik kuliah masa hadapan itu selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk mereka bentuk semula pengajaran dan pembelajaran pendidikan tinggi. “MaGICX menggunakan kepakaran mereka dalam membantu membangunkan inovasi pembelajaran berasaskan teknologi digital bagi pendidikan tinggi di Malaysia. “Teknologi VR sangat signifikan untuk menyokong pelajar berinteraksi dengan kandungan pembelajaran di samping dapat merasai pengalaman berada dalam situasi sebenar selain dapat mengurangkan kos pembelajaran,” katanya. Dr Mohd Shahrizal berkata, penggunaan teknologi VR membolehkan mahasiswa dan pensyarah Sarjana Muda Kejuruteraan Petroleum dapat belajar dan merasai suasana sebenar berada di pelantar minyak di tengah laut tanpa perlu berada di tempat sebenar. Katanya, teknologi berkenaan boleh digunakan oleh mahasiswa dan pensyarah pelbagai jurusan yang memerlukan pendedahan dan pengalaman sebenar di lapangan tanpa perlu hadir di lokasi sebenar. Dalam pada itu, konsep Pendidikan “Juke Box” yang ditelah diperkenalkan sebelum ini dalam mereka bentuk semula pengajaran dan pembelajaran pendidikan tinggi merupakan salah satu pendekatan pendidikan yang melangkaui kampus (Beyond Campuses) dan sempadan (Beyond Borders). “Konsep berkenaan membolehkan pelajar mengambil bahagian dalam program yang ditawarkan serta menggunakan fasiliti dan sumber yang ada di universiti tidak kira di mana mereka berada,” tambah beliau. Sementara itu, konsep “iLearning Cloud” dibangun dengan kerjasama Huawei Malaysia menggunakan teknologi Pengkomputeran Awan dan Big Data bagi membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan dengan lebih interaktif. Teknologi Big Data dan pengkomputeran awan sangat signifikan untuk menyokong pelajar berinteraksi dengan kandungan pembelajaran bersesuaian dengan trend digital terkini melalui gajet dan capaian internet. “Penggunaan teknologi berkenaan dapat membantu pelajar mencapai bahan pengajaran dan pembelajaran interaktif dengan lebih mudah walaupun di mana sahaja mereka berada,” katanya. Beliau berkata, dalam program itu, inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mewujudkan Platform Pembelajaran Secara Dalam Talian (MOOC), eLearning dan Pembelajaran Sepanjang Hayat diintegrasikan dalam satu persekitaran pengkomputeran awan. Melalui program tersebut, pelajar dapat berinteraksi dengan pensyarah atau pakar yang berada di tempat lain secara langsung melalui persidangan video, selain berkongsi kandungan pembelajaran antara Universiti melalui “iLearning Cloud” yang diperkenalkan itu. “MaGICX menggunakan kepakaran para penyelidiknya dalam membangun inovasi pembelajaran berasaskan teknologi digital bagi pendidikan tinggi di Malaysia dan majlis pelancaran “UTM-Huawei iLearning Cloud” itu selaras dengan hasrat KPT untuk mereka bentuk semula pengajaran dan pembelajaran pendidikan tinggi,” katanya. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Abraham Liu berkata, pihaknya amat berbesar hati dengan pelancaran “iLearning Cloud Showcase” hasil kerjasama dengan MaGICX UTM. Beliau berkata, pengkomputeran awan kini merupakan salah satu penggerak transformasi digital yang digunakan oleh hampir semua sektor. “iLearning Cloud menggunakan Fusioncloud iaitu platform baru yang dibangunkan oleh Huawei yang mengaplikasikan pendekatan cekap dan penjimatan kos bagi meningkatkan keberkesanan teknik mengajar serta pembelajaran yang diperkenalkan. “Platform iLearning yang berasaskan pengkomputeran awan mengintegrasikan kandungan multimedia dan teknologi maklumat dan komunikasi untuk pembangunan kepimpinan hingga ke pengurusan projek,” ktanya. Beliau berkata, menerusi bantuan platform berkenaan membolehkan pelajar mendapat kemudahan akses ke dalam kandungan pembelajaran dengan menggunakan apa-apa peranti, pada bila-bila masa dan di mana sahaja mereka berada. Selain itu, guru juga boleh menguruskan persediaan pengajaran untuk pelajar dan menilai aktiviti sebelum dan selepas sesi pembelajaran. “Kami amat yakin dengan inisiatif yang baik ini dapat membantu menghasilkan kampus pintar dan pembangunan rangkaian di UTM dapat berkembang ke seluruh universiti lain pada masa akan datang,” katanya. Di majlis yang sama, Dato Seri Idris turut melancarkan “UTM 4.0 4th Industrial Revolution Showcase” selaras dengan kesediaan pihak Universiti dalam menghadapi cabaran Revolusi Industri ke-4 seterusnya memposisikan penyelidikan untuk keunggulan global. UTM mengambil peluang untuk melancarkan UTM 4.0 iaitu inisiatif secara proaktif untuk mengumpulkan kesemua program akademik, penyelidikan dan system sokongan yang berkaitan dengan Revolusi Industri 4.0. Turut hadir ke majlis itu ialah Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Bin Omar dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, KPT, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir. Usaha yang dijalankan oleh MaGICX sebuah pusat kecemerlangan hasil kerjasama strategik antara UTM dengan Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) adalah selaras dengan perkembangan teknologi digital semasa. MaGICX yang ditubuhkan pada tahun 2013 memainkan peranan yang penting sebagai pendorong utama untuk Industri Media Digital dan Teknologi Gamifikasi serta sebagai sebuah pusat kecemerlangan gamifikasi pertama di Malaysia yang memfokuskan kepada penyelidikan, pembangunan bakat serta pengkomersilan produk.