Kita sering menonton filem-filem sains fiksyen yang menggambarkan teknologi masa hadapan. Contohnya dalam filem Iron Man, watak Tony Stark lakonan Robert Downey Jr. boleh berinteraksi dengan memegang objek-objek 3D secara bersahaja sedangkan objek tersebut tidak wujud dalam dunia nyata.

Teknologi yang ada pada hari ini semakin hampir merealisasikan apa yang ditonton dalam filem-filen sains fiksyen tersebut.

Dengan teknologi augementasi reality (AR), pengguna akan mendapat maklumat tambahan dan panduan.

Sebagai contoh, bagi infografik dalam sesebuah buku, pengguna akan dapat maklumat tambahan dalam imej tiga dimensi (3D) atau video dengan mengimbas telefon pintar kepada bahagian tertentu dalam buku tersebut. Ini menambahkan interaktiviti antara pembaca dengan maklumat.

Menyedari keperluan, kepentingan dan potensi aplikasi interaktif menggunakan teknologi AR, sekumpulan penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengambil inisiatif untuk meluaskan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang AR.

Penyelidikan ini dijalankan secara aktif di Pusat Kecemerlangan Media dan Inovasi Permainan atau Media and Game Innovation Centre of Excellence (MaGICX) yang diketuai oleh pengarahnya, Prof. Madya Dr. Mohd. Shahrizal Sunar, yang juga merupakan pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Perisian, Fakulti Komputeran, UTM.

AR teknologi yang mula dikaji sejak tahun 1960-an oleh Ivan Sutherland yang memperkenalkan Helmet Mounted Display (HMD).

Dr. Mohd. Shahrizal berkata, secara teknikalnya AR merupakan teknologi yang menggabungkan unsur-unsur dunia sebenar yang dilihat daripada kamera dengan unsur-unsur tambahan dalam bentuk multimedia iaitu teks, video, animasi dan model 3D. Menerusi teknologi itu, pengguna akan dapat melihat objek maya dalam dunia nyata.

Pihaknya telah lama menjalankan kajian berkenaan dengan fokus utama terhadap pembangunan teknologi dan juga kebolehgunaan dan penyesuaian teknologi AR agar menjadikan kandungan digital menjadi lebih interaktif.

Menurut beliau, teknologi tersebut sangat membantu rutin kehidupan seharian terutamanya dalam pendidikan, sains dan pemasaran dengan menokok maklumat tambahan terhadap sesuatu yang ada dalam dunia nyata.

Sebagai contoh, dalam satu aplikasi yang dinamakan Ameen Daily Prayer, pelajar akan dapat mendengar dan berinteraksi dengan animasi 3D yang akan membacakan doa.

Ini sangat membantu pelajar dalam menghafal doa dengan sebutan yang betul. Dalam bidang perubatan pula, teknologi AR dapat membantu doktor mendapatkan panduan semasa pembedahan selain dapat memudahkan doktor memberikan penerangan kepada pesakit.

Dalam bidang sejarah pula, orang ramai dapat menghayati peristiwa-peristiwa bersejarah semasa berada di suatu tempat bersejarah dengan mengimbas teknologi AR ini kepada bangunan ataupun artifak yang bersejarah. Pengguna akan mendapat paparan video atau animasi yang berkaitan.

Menurut Dr. Mohd. Shahrizal, penyelidikan dalam bidang AR itu mendapat sokongan dana penyelidikan daripada Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta UTM.

Hasil penyelidikan telah meraih pengiktirafan di peringkat antarabangsa dan kebangsaan. Antaranya Anugerah Reka Cipta Antarabangsa, Anugerah Khas King Sejong dan beberapa anugerah khas dan pingat emas di Ekspo Teknologi Malaysia (MTE), Pameran Teknologi Antarabangsa (ITEX) dan Pameran Teknologi dan Seni Industri (INATEX).

Katanya, antara cabaran dan keperluan utama dalam bidang ini ialah untuk mendapatkan pembangun sistem yang mahir dan cekap yang terdiri daripada pengaturcara komputer, pereka bentuk antaramuka dan pengalaman pengguna (UI/UX) serta bakat dari segi pembangunan kandungan.
MaGICX telah mengkomersialkan beberapa produk yang berkaitan dengan teknologi AR tersebut.

Antara pelanggannya ialah Institut Latihan Petroleum Petronas (INSTEP), MOSTI dan Jabatan Arkib Negara.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak telah merasmikan Galeri Interaktif Memorial Tun Abdul Razak yang mendapat suntikan teknologi AR yang dibangunkan oleh kumpulan penyelidik berkenaan.

Dengan adanya aplikasi interaktif berasakan AR, pengunjung dibekalkan dengan tablet dan hanya perlu mengimbas poster yang terdapat pada dinding-dinding memorial dan video peristiwa yang berkaitan dengan poster tersebut akan dipaparkan pada tablet.

Menariknya di sini, selain membaca teks yang terdapat pada poster, pengunjung juga dapat melihat video yang memaparkan informasi yang lebih mendalam bagi meningkatkan lagi kefahaman mereka.

Selain mengimbas poster, pengunjung juga boleh mengimbas kerusi dan meja yang ada bagi mendapatkan video peristiwa bersejarah dan memori yang berlaku di kerusi dan meja tersebut

Sebelum ini, pengunjung hanya akan melihat bahan pameran melalui poster, teks dan gambar yang statik sahaja manakala galeri interaktif ialah galeri yang mengaplikasi teknologi terkini, membolehkan pengunjung mendapat maklumat melalui interaksi mereka dengan poster dangambar yang terdapat di galeri tersebut.

MaGICX juga sangat aktif dalam menjalankan penyelidikan dan pembangunan dalam gamifikasi.

Ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk menerapkan kaedah baharu dalam pengajaran dan pembelajaran di semua peringkat.

Selain itu, ia dapat menghasilkan lebih banyak kandungan tempatan yang boleh menjadi sumber pendapatan negara.

Kajian juga mendapati bahawa pelaksanaan caras pengajaran dan pembelajaran menggunakan kaedah permainan mampu menghasilkan suasana pembelajaran yang lebih menarik dan interaktif.

Selain daripada aktiviti pembangunan dan penyelidikan, MaGICX juga menawarkan kursus profesional.

Kursus tersebut dikendalikan sendiri oleh tenaga pakar di MaGICX dan juga pakar dari industri dalam dan luar negara.

Masa depan teknologi AR

Jika dirujuk kepada perkembangan semasa, syarikat terkemuka Apple telah mengambil alih syarikat pembangun teknologi AR yang terbesar di dunia iaitu Metaio.

Facebook pula mengambil alih syarikat Oculus VR dengan harga RM8 bilion (USD2 bilion). Ini menunjukkan masa depan yang sangat cerah bagi teknologi AR ini.

MaGICX berharap akan terus menghasilkan inovasi dalam teknologi interaktif menggunakan Augmentasi Realiti yang dapat menyumbang kepada kemajuan ekonomi dan modal insan negara.

Dalam pada itu semakin banyak syarikat dan agensi di dalam dan di luar negara yang menggunakan teknologi AR.

Antara yang terawal ialah Proton yang menggunakan teknologi AR untuk mengiklankan model kereta Proton Preve. Petronas menggunakan teknologi ini untuk menarik pengunjung yang berada di dek pemerhatian menara berkembar. Malaysia Airlines menggunakan AR untuk menjejak lokasi lapangan terbang antarabangsa seluruh dunia.

Sumber: Utusan Online